Dalam usaha untuk menyelesaikan permasalahan pelajar ke arah
membina generasi pelajar yang gemilang dari segi duniawi dan ukhrawi, kita
tidak dapat lari dari memikirkan factor-faktor yang mempengaruhi perlakuan
pelajar-pelajar kita yang menjadi asas kepada perancangan sesuatu program.
Pemerhatian yang dibuat menunjukkan antara masalah yang dihadapi ialah:
1.
Masalah disiplin seperti merokok, ponteng,
bercinta, membawa telefon bimbit, datang lewat ke
Sekolah, merosakkan harta benda sekolah dan
asrama, membuat kotor di sekolah dan asrama, berpakaian tidak kemas, keluar
tanpa kebenaran, bergaduh, membuli dan tidak menyiapkan kerja sekolah
2.
Masalah sikap pelajar iaitu tidak menghormati
guru, malas, menipu, degil, tidak mendengar nasihat, mengambil mudah
perkara-perkara penting, tidak bekerjasama, malu yang tak bertempat, tidak
menhormati masa, tidak menghargai nikmat yang diberikan dalam bentuk harta
benda sekolah dan harta benda peribadi dan suka membuat kotor.
Masalah sosial yang melibatkan keterlibatan pelajar dalam aktiviti sosial yang tidak mengikut norma-norma yang diterima masyarakat seperti pergaulan bebas, seks diluar ikatan perkahwinan, menghisap dadah, merempit dan jenayah.
Banyak faktor-faktor penyebab boleh disenaraikan dengan
secara rasional untuk menerangkan kenapa berlakunya masalah di atas. Antara
yang boleh disenaraikan ialah:
1.
Masalah diri pelajar – ujian psikometrik yang
dijalankan kepada pelajar menggunakan Indeks Minat Kerjaya yang menunjukkan
berlaku kecelaruan dari segi minat yang berada pada polar yang bertentangan. Indeks Trait Personaliti pula boleh digunakan untuk mengesan kecelaruan personaliti yang ada pada pelajar. Walau bagaimanapun, ujian-ujian ini mestilah terus dibuat kajian kesahan untuk memastikan kebolehterimaannya.
2.
Masalah keluarga – keluarga yang mempunyai
masalah dalaman dari segi kerukunan dan amalan sikap yang tidak baik boleh
diterap oleh pelajar dan diamalkan pula disekolah. Pelajar-pelajar yang
mempunyai masalah terpendam disebabkan keluarga juga mungkin menjadikan sekolah
sebagai tempat untuk menyatakan protes mereka.
3.
Masalah masyarakat – pelajar-pelajar zaman ini
mungkin dipengaruhi oleh banyak pengaruh-pengaruh luar terutamanya dalam bidang
yang memuaskan nafsu mereka seperti hiburan dari media-media seperti
television, internet, rakan-rakan, telefon-telefon pintar dan bermacam-macam
lagi kaedah lain yang pada asasnya bersangkutan dengan nafsu keinginan manusia.
Daripada 3 faktor yang dinyatakan di atas, pihak sekolah
secara rasionalnya hanya boleh mengawal dengan berkesan faktor pertama sahaja
iaitu masalah yang disebabkan oleh diri pelajar. Kertas kerja ini akan berusaha
untuk mencadangkan kaedah-kaedah yang boleh digunapakai di sekolah untuk
membina diri pelajar yang hebat dan gemilang. Rasional kaedah-kaedah yang akan
dicadangkan diasaskan kepada konsep manusia yang dinyatakan oleh pengetahuan
psikologi barat dan pengetahuan psikologi Islam.
Psikologi anutan barat menyatakan secara amnya bahawa manusia adalah
sekadar terbina dari komponen jasad dan minda . Segala perbuatan manusia
dinyatakan adalah untuk memenuhi keperluan jasad yang dikawal oleh minda
semata-mata. Manusia dalam pandangan barat sekadar haiwan yang tiada kena
mengena dengan akhirat. Perlakuan manusia adalah untuk memenuhi
kehendak-kehendak fisiologi yang bersangkutan dengan kehendak nafsu dan
keinginan yang secara amnya ada pada haiwan-haiwan lain. Secara konsepnya, ilmu
psikologi barat menyatakan bahawa perlakuan yang baik yang dilakukan oleh
manusia datang dari pemikiran minda yang baik atau positif. Jadi kaedah barat
lebih menekankan bahawa dalam membina manusia yang gemilang, cara berfikir
manusia mestilah dilatih untuk berfikir secara positif mengikut acuan yang
ditarifkan sebagai normal. Konsep psikologi barat boleh diringkaskan seperti di
bawah:
1. Psikoanalisis - sebuah aliran psikologi
yang menyatakan bahawa manusia adalah digerakkan
keinginan-keinginan yang terpendam.
2. Behaviourisme - aliran psikologi yang
mengatakan bahawa manusia digerakkan oleh
rangsangan persekitaran.
3. Psikologi Kognitif - aliran psikologi
yang mengatakan bahawa manusia adalah makhluk
yang mengorganisasikan dan mengolah
rangsangan yang diterimanya.
4. Psikologi Humanistik - aliran psikologi
yang mengatakan bahawa manusia memiliki
keupayaan yang tidak bertindak umpama
robot yang dikendalikan oleh kekuatan luar sedar atau
dikendalikan oleh faktor-faktor luaran
dari persekitaran.
Boleh dikatakan bahawa fahaman psikologi barat menyatakan
bahawa manusia merupakan makhluk yang bertindak terhadap keinginan-keinginan
dalaman dan juga rangsangan-rangsangan dari luar. Manusia dalam aliran
psikoanalisis merupakan hasil kawalan ego yang bertugas untuk memenuhi kehendak
Id(nafsu keinginan yang berlandaskan keseronokan) dan kehendak super-ego(
peraturan-peraturan moral yang ditetapkan oleh sosial). Jadi untuk menghasilkan
manusia yang hebat dan baik, ego mesti dikuatkan dan ego ini merupakan
pemikiran dalam minda yang positif mengikut penerimaan masyarakat sosial.
Aliran humanistik pula menyatakan bahawa pada amnya manusia adalah baik dan
untuk mencapai kesempurnaan sebagai manusia ada keperluan-keperluan yang mesti dipenuhkan iaitu keperluan fisiologi,
keselamatan, kasih sayang dan kepunyaan, penghargaan kendiri dan kesempurnaan
kendiri. Walau bagaimanapun harus diingat bahawa budaya barat dan budaya Islam
adalah tidak sama. Keinginan untuk memenuhi keperluan-keperluan mengikut aliran
humanistic mungkin tidak sesuai dengan peraturan-peraturan Islam yang dipegang
oleh pelajar-pelajar kita sebagai contohnya ialah keperluan kasih saying dan
kepunyaan yang menyatakan bahawa manusia perlu kepada kasih sayang dari manusia
lain untuk melengkapkan dirinya tetapi ianya mestilah berlandaskan syiar islam
bukan berlandaskan fahaman barat yang membenarkan seks bebas dan sebagainya.
Sebagai kesimpulannya boleh dikatakan bahawa fahaman
psikologi barat tidak boleh diamalkan sepenuhnya untuk dijadikan asas untuk
membina generasi pelajar yang gemilang khususnya atau generasi Malaysia
amnya. Ini kerana akan berlaku pertentangan hebat di antara fahaman sekular
psikologi barat yang jelas tidak memasukkan unsur ketuhanan dalam fahaman
mereka. Sebagai orang Islam,
pelajar-pelajar Malaysia yang beragama Islam tertakluk kepada prinsip-prinsip Islam yang menjadi
pegangan.
Psikologi barat sebenarnya gagal untuk mengambil kira
dimensi keagamaan dan kerohanian yang menghasilkan satu lompang kekosongan.
Lompang kekosongan ini hanya boleh diisi dengan kaedah-kaedah dalam psikologi
Islam yang berlandaskan Al-Quran dan As-sunnah. Ilmu psikologi Islam bukanlah
ilmu yang baru berkembang tetapi sebenarnya berkembang selari dengan
perkembangan Islam dari zaman Rasulullah SAW hingga kini cumanya kewujudannya
tidak dinamakan psikologi secara khusus kerana psikologi merupakan istilah baru
yang diperkenalkan oleh pengkaji barat. Kesan kaedah-kaedah pengubatan
psikologi Islam sebenarnya sangat hebat kerana ianya boleh mengubah bangsa arab
jahiliyah di zaman Rasulullah SAW yang terkenal sebagai bangsa yang buruk
akhlak kesan dari masalah mental kepada satu bangsa yang sangat berakhlak mulia
sehingga mampu memerintah 2/3 dunia. Bangsa arab jahiliah merupakan bangsa yang
terkenal mengamalkan kezaliman yang dahsyat seperti membunuh anak perempuan
sendiri dengan kaedah menanam mereka hidup-hidup kerana rasa rendah diri, hina
dan bernasib malang kerana mempunyai anak perempuan, mengamalkan pelacuran dan
penzinaan, mengamalkan meminum arak, menyembah berhala, saling bermusuhan dan
berperang diantara satu sama lain, mengamalkan perhambaan dan tidak menghormati
sesama manusia. Kedatangan Islam bersama Nabi Muhammad SAW menyaksikan satu
transformasi yang boleh dikatakan tidak masuk akal yang menyaksikan bangsa arab
jahiliah berubah menjadi bangsa yang berakhlak tinggi yang terbaik yang tidak
dapat dibandingkan dengan mana-mana bangsa lain di dunia dari dulu hingga
sekarang. Ini menunjukkan kehebatan kesan kaedah pengubatan psikologi yang
diterapkan oleh Nabi Muhammad SAW yang mengikut panduan dari ALLAH SWT. Oleh
itu sebagai orang Islam yang beriman kepada ALLAH dan rasulNYA adalah
sepatutnya kita mengambil semula kaedah-kaedah anjuran Islam untuk digunakan
dalam membina generasi pelajar yang hebat.
Ahli-ahli akademik Islam menyatakan bahawa pelopor aliran
psikologi Islam ialah Imam Al-Ghazali yang merupakan mujaddid Islam dan digelar
sebagai Hujjatul Islam. Beliau banyak menulis kitab-kitab berpengaruh dan yang
paling dikenali ialah Ihya Ulumuddin. Kitab ini banyak membincangkan kaedah-kaedah
penyucian jiwa dan mendidik hati. Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa ilmu jiwa
adalah sangat penting untuk mengenal Allah. Ini bermaksud bahawa dalam
psikologi Islam tiada perpisahan antara kerohanian dan keduniaan, dan tiada
perpisahan antara rohani dan jiwa. Bahkan psikologi Islam menekankan
kepentingan rohani dalam membentuk jiwa yang positif dan mulia.
Jiwa pada pandangan psikologi Islam merupakan system nafsani
yang terdiri daripada komponen Akal, Qalb, Bashirat, Syahwat dan Hawa. Akal
merupakan kebolehan menyelesaikan masalah yang mampu untuk berfikir dan mampu
membezakan yang baik dan yang buruk. Akal boleh menemukan kebenaran tetapi
tidak boleh menentukannya. Qalb(hati) merupakan perdana menteri kepada system
nafsani . Qalb bertanggungjawab memimpin kerja atau perlakuan manusia. Ia mampu
memahami kenyataan, dan ketika akal mengalami kesulitan, sesuatu yang tidak
rasional pada pandangan Akal, masih boleh difahami oleh Qalb berdasarkan konsep pahala dan dosa. Apa
yang sudah dilupakan oleh Qalb akan masuk kedalam memori nafs (alam bawah
sedar) dan apa yang sudah dilupakan ini kadang muncul dalam mimpi manusia.
Qalb, walaubagaimanapun, selalunya tidak menepati ketentuan.
Bashirat pula merupakan pandangan mata batin. Jika Qalb
tidak selalunya menepati ketentuan kebenaran dan kejujuran, Bashirat pula tidak
boleh diajak berkompromi untuk menyimpang dari kebenaran. Bashirat juga
dipanggil sebagai Nurani dan disebut oleh orang Melayu sebagai hati nurani.
Dalam tasawwuf, Bashirat adalah cahaya ketuhanan yang wujud dalam hati. Prasangka,
tangis kesedaran, kewarakan dan belas kasihan datang dari Bashirat.
Syahwat pula ditafsirkan sebagai motif kepada tingkahlaku
manusia. Syahwat merupakan keinginan semulajadi kepada sesuatu benda atau
perkara contohnya syahwat(keinginan) kepada pasangan, bangga terhadap
anak-anak, kenderaan yang hebat atau tanah kebun yang luas. Hawa pula adalah
komponen yang biasanya mengarah kepada sikap yang tidak baik contohnya perilaku
kejahatan, rasuah, marah, sombong dan lain-lain sifat yang tidak baik. Hawa
sentiasa ingin segera menikmati apa yang diinginkan tanpa peduli kepada
nilai-nilai moral atau akhlak.
Imam Al-Ghazali mengkelaskan sifat-sifat manusia kepada
empat kelompok iaitu:
1. Sifat haiwan buas (as-sab’iyyah) yang akan muncul apabila manusia dikuasai emosi, dan akan dimanifestasikan sebagai perilaku permusuhan, kebencian, penyerangan terhadap manusia lain samada secara lisan ataupun perbuatan
1. Sifat haiwan buas (as-sab’iyyah) yang akan muncul apabila manusia dikuasai emosi, dan akan dimanifestasikan sebagai perilaku permusuhan, kebencian, penyerangan terhadap manusia lain samada secara lisan ataupun perbuatan
2. Sifat haiwan liar (al-bahimiyah) yang akan muncul apabila manusia dikuasai syahwat dan perwujudannya adalah tingkahlaku kejahatan, ketamakan dan bersifat seksual
3. Sifat syaitan (asy-syaithaniyah) muncul dari perpaduan syahwat dan emosi serta berupaya membuat berbezaan. Ini dimanifestasikan sebagai perlakuan kejahatan dalam bentuk kebaikan.
4. Sifat ketuhanan (ar-rabbaniyah) yang apabila ianya menguasai jiwa manusia akan melahirkan peribadi yang bertindak seperti tuhan seperti sangat cinta kekuasaan, kebesaran, kekhususan, kediktatoran, lepas dari peribadatan, sombong, mengakui dirinya berilmu sangat luas dan tinggi.
Imam Al-Ghazali mencadangkan bahawa manusia perlu berada
dalam keadaan sederhana untuk mencipta manusia yang stabil dari segala segi.
Beliau tidak sama sekali mencadangkan konsep penghapusan syahwat atau hawa
tetapi menyatakan bahawa manusia perlu mampu mengawalnya agar berada dalam
keadaan yang sederhana. Imam Al-Ghazali membincangkan penyakit jiwa dari sudut
perlakuan (Al-Akhlak) samada positif atau negatif. Imam Al-Ghazali menyatakan
bahawa: menegakkan (melakukan) akhlak (yang baik) merupakan kesihatan mental,
manakala berpaling dari penegakan itu bermaksud suatu neurosis dan psikosis.
Sebagai kesimpulannya, dalam mempersoalkan jiwa dan
perlakuan, psikologi Islam mencadangkan konsep terapi yang menitik beratkan
pendidikan hati yang menjadi pengawal kepada segala perbuatan manusia.
Psikologi Islam juga menyarankan bahawa ada satu bentuk hubungan diantara
manusia dan tuhan dari aspek kerohanian yang boleh dilaksanakan dan
diperkuatkan dalam mendidik hati supaya menjadi manusia yang seimbang dari
aspek kerohanian dan jasmani. Psikologi Islam mencadangkan supaya hati dibentuk
dengan kaedah kerohanian yang natijahnya akan menghasilkan manusia yang stabil
dari aspek akhlak, emosi , jasmani, kelakuan dan intelek. Psikoterapi dalam
Islam dapat menyembuhkan semua penyakit psikologi samada
bersifat duniawi atau ukhrawi. Jadi dalam proses membina generasi pelajar yang hebat dan mantap dari semua segi, pendekatan psikoterapi Islam harus
dilaksanakan. Perlaksanaan ini mungkin akan mengambil masa, kos dan tenaga yang
bukan sedikit tetapi kita sebagai ummat Islam yang yakin dan beriman kepada
Allah harus melaksanakannya untuk membina ummat Islam yang lebih baik dari
sebelumnya.
No comments:
Post a Comment