Tuesday, December 2, 2014

MEMBINA GENERASI PELAJAR GEMILANG ASAS PEMBENTUKAN MALAYSIA GEMILANG


Dalam usaha untuk menyelesaikan permasalahan pelajar ke arah membina generasi pelajar yang gemilang dari segi duniawi dan ukhrawi, kita tidak dapat lari dari memikirkan factor-faktor yang mempengaruhi perlakuan pelajar-pelajar kita yang menjadi asas kepada perancangan sesuatu program. Pemerhatian yang dibuat menunjukkan antara masalah yang dihadapi ialah:

1.       Masalah disiplin seperti merokok, ponteng, bercinta, membawa telefon bimbit, datang lewat ke
Sekolah, merosakkan harta benda sekolah dan asrama, membuat kotor di sekolah dan asrama, berpakaian tidak kemas, keluar tanpa kebenaran, bergaduh, membuli dan tidak menyiapkan kerja sekolah

2.       Masalah sikap pelajar iaitu tidak menghormati guru, malas, menipu, degil, tidak mendengar nasihat, mengambil mudah perkara-perkara penting, tidak bekerjasama, malu yang tak bertempat, tidak menhormati masa, tidak menghargai nikmat yang diberikan dalam bentuk harta benda sekolah dan harta benda peribadi dan suka membuat kotor.

      Masalah sosial yang melibatkan keterlibatan pelajar dalam aktiviti sosial yang tidak mengikut norma-norma yang diterima masyarakat seperti pergaulan bebas, seks diluar ikatan perkahwinan, menghisap dadah, merempit dan jenayah.

Banyak faktor-faktor penyebab boleh disenaraikan dengan secara rasional untuk menerangkan kenapa berlakunya masalah di atas. Antara yang boleh disenaraikan ialah:

1.       Masalah diri pelajar – ujian psikometrik yang dijalankan kepada pelajar menggunakan Indeks Minat Kerjaya yang menunjukkan berlaku kecelaruan dari segi minat yang berada pada polar yang bertentangan. Indeks Trait Personaliti pula boleh digunakan untuk mengesan kecelaruan personaliti yang ada pada pelajar. Walau bagaimanapun, ujian-ujian ini mestilah terus dibuat kajian kesahan untuk memastikan kebolehterimaannya.

2.       Masalah keluarga – keluarga yang mempunyai masalah dalaman dari segi kerukunan dan amalan sikap yang tidak baik boleh diterap oleh pelajar dan diamalkan pula disekolah. Pelajar-pelajar yang mempunyai masalah terpendam disebabkan keluarga juga mungkin menjadikan sekolah sebagai tempat untuk menyatakan protes mereka.

3.       Masalah masyarakat – pelajar-pelajar zaman ini mungkin dipengaruhi oleh banyak pengaruh-pengaruh luar terutamanya dalam bidang yang memuaskan nafsu mereka seperti hiburan dari media-media seperti television, internet, rakan-rakan, telefon-telefon pintar dan bermacam-macam lagi kaedah lain yang pada asasnya bersangkutan dengan nafsu keinginan manusia.

Daripada 3 faktor yang dinyatakan di atas, pihak sekolah secara rasionalnya hanya boleh mengawal dengan berkesan faktor pertama sahaja iaitu masalah yang disebabkan oleh diri pelajar. Kertas kerja ini akan berusaha untuk mencadangkan kaedah-kaedah yang boleh digunapakai di sekolah untuk membina diri pelajar yang hebat dan gemilang. Rasional kaedah-kaedah yang akan dicadangkan diasaskan kepada konsep manusia yang dinyatakan oleh pengetahuan psikologi barat dan pengetahuan psikologi Islam.

Psikologi anutan barat  menyatakan secara amnya bahawa manusia adalah sekadar terbina dari komponen jasad dan minda . Segala perbuatan manusia dinyatakan adalah untuk memenuhi keperluan jasad yang dikawal oleh minda semata-mata. Manusia dalam pandangan barat sekadar haiwan yang tiada kena mengena dengan akhirat. Perlakuan manusia adalah untuk memenuhi kehendak-kehendak fisiologi yang bersangkutan dengan kehendak nafsu dan keinginan yang secara amnya ada pada haiwan-haiwan lain. Secara konsepnya, ilmu psikologi barat menyatakan bahawa perlakuan yang baik yang dilakukan oleh manusia datang dari pemikiran minda yang baik atau positif. Jadi kaedah barat lebih menekankan bahawa dalam membina manusia yang gemilang, cara berfikir manusia mestilah dilatih untuk berfikir secara positif mengikut acuan yang ditarifkan sebagai normal. Konsep psikologi barat boleh diringkaskan seperti di bawah:

     1. Psikoanalisis - sebuah aliran psikologi yang menyatakan bahawa manusia adalah digerakkan
         keinginan-keinginan yang terpendam.
     2. Behaviourisme - aliran psikologi yang mengatakan bahawa manusia digerakkan oleh
         rangsangan persekitaran.
     3. Psikologi Kognitif - aliran psikologi yang mengatakan bahawa manusia adalah makhluk
         yang mengorganisasikan dan mengolah rangsangan yang diterimanya.
     4. Psikologi Humanistik - aliran psikologi yang mengatakan bahawa manusia  memiliki
         keupayaan yang tidak bertindak umpama robot yang dikendalikan oleh kekuatan luar sedar atau
         dikendalikan oleh faktor-faktor luaran dari persekitaran.

Boleh dikatakan bahawa fahaman psikologi barat menyatakan bahawa manusia merupakan makhluk yang bertindak terhadap keinginan-keinginan dalaman dan juga rangsangan-rangsangan dari luar. Manusia dalam aliran psikoanalisis merupakan hasil kawalan ego yang bertugas untuk memenuhi kehendak Id(nafsu keinginan yang berlandaskan keseronokan) dan kehendak super-ego( peraturan-peraturan moral yang ditetapkan oleh sosial). Jadi untuk menghasilkan manusia yang hebat dan baik, ego mesti dikuatkan dan ego ini merupakan pemikiran dalam minda yang positif mengikut penerimaan masyarakat sosial. Aliran humanistik pula menyatakan bahawa pada amnya manusia adalah baik dan untuk mencapai kesempurnaan sebagai manusia ada keperluan-keperluan   yang mesti dipenuhkan iaitu keperluan fisiologi, keselamatan, kasih sayang dan kepunyaan, penghargaan kendiri dan kesempurnaan kendiri. Walau bagaimanapun harus diingat bahawa budaya barat dan budaya Islam adalah tidak sama. Keinginan untuk memenuhi keperluan-keperluan mengikut aliran humanistic mungkin tidak sesuai dengan peraturan-peraturan Islam yang dipegang oleh pelajar-pelajar kita sebagai contohnya ialah keperluan kasih saying dan kepunyaan yang menyatakan bahawa manusia perlu kepada kasih sayang dari manusia lain untuk melengkapkan dirinya tetapi ianya mestilah berlandaskan syiar islam bukan berlandaskan fahaman barat yang membenarkan seks bebas dan sebagainya.

Sebagai kesimpulannya boleh dikatakan bahawa fahaman psikologi barat tidak boleh diamalkan sepenuhnya untuk dijadikan asas untuk membina generasi pelajar yang gemilang khususnya atau generasi Malaysia amnya. Ini kerana akan berlaku pertentangan hebat di antara fahaman sekular psikologi barat yang jelas tidak memasukkan unsur ketuhanan dalam fahaman mereka. Sebagai  orang Islam, pelajar-pelajar Malaysia yang beragama Islam tertakluk kepada prinsip-prinsip Islam yang menjadi pegangan.

Psikologi barat sebenarnya gagal untuk mengambil kira dimensi keagamaan dan kerohanian yang menghasilkan satu lompang kekosongan. Lompang kekosongan ini hanya boleh diisi dengan kaedah-kaedah dalam psikologi Islam yang berlandaskan Al-Quran dan As-sunnah. Ilmu psikologi Islam bukanlah ilmu yang baru berkembang tetapi sebenarnya berkembang selari dengan perkembangan Islam dari zaman Rasulullah SAW hingga kini cumanya kewujudannya tidak dinamakan psikologi secara khusus kerana psikologi merupakan istilah baru yang diperkenalkan oleh pengkaji barat. Kesan kaedah-kaedah pengubatan psikologi Islam sebenarnya sangat hebat kerana ianya boleh mengubah bangsa arab jahiliyah di zaman Rasulullah SAW yang terkenal sebagai bangsa yang buruk akhlak kesan dari masalah mental kepada satu bangsa yang sangat berakhlak mulia sehingga mampu memerintah 2/3 dunia. Bangsa arab jahiliah merupakan bangsa yang terkenal mengamalkan kezaliman yang dahsyat seperti membunuh anak perempuan sendiri dengan kaedah menanam mereka hidup-hidup kerana rasa rendah diri, hina dan bernasib malang kerana mempunyai anak perempuan, mengamalkan pelacuran dan penzinaan, mengamalkan meminum arak, menyembah berhala, saling bermusuhan dan berperang diantara satu sama lain, mengamalkan perhambaan dan tidak menghormati sesama manusia. Kedatangan Islam bersama Nabi Muhammad SAW menyaksikan satu transformasi yang boleh dikatakan tidak masuk akal yang menyaksikan bangsa arab jahiliah berubah menjadi bangsa yang berakhlak tinggi yang terbaik yang tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana bangsa lain di dunia dari dulu hingga sekarang. Ini menunjukkan kehebatan kesan kaedah pengubatan psikologi yang diterapkan oleh Nabi Muhammad SAW yang mengikut panduan dari ALLAH SWT. Oleh itu sebagai orang Islam yang beriman kepada ALLAH dan rasulNYA adalah sepatutnya kita mengambil semula kaedah-kaedah anjuran Islam untuk digunakan dalam membina generasi pelajar yang hebat.

Ahli-ahli akademik Islam menyatakan bahawa pelopor aliran psikologi Islam ialah Imam Al-Ghazali yang merupakan mujaddid Islam dan digelar sebagai Hujjatul Islam. Beliau banyak menulis kitab-kitab berpengaruh dan yang paling dikenali ialah Ihya Ulumuddin. Kitab ini banyak membincangkan kaedah-kaedah penyucian jiwa dan mendidik hati. Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa ilmu jiwa adalah sangat penting untuk mengenal Allah. Ini bermaksud bahawa dalam psikologi Islam tiada perpisahan antara kerohanian dan keduniaan, dan tiada perpisahan antara rohani dan jiwa. Bahkan psikologi Islam menekankan kepentingan rohani dalam membentuk jiwa yang positif dan mulia.

Jiwa pada pandangan psikologi Islam merupakan system nafsani yang terdiri daripada komponen Akal, Qalb, Bashirat, Syahwat dan Hawa. Akal merupakan kebolehan menyelesaikan masalah yang mampu untuk berfikir dan mampu membezakan yang baik dan yang buruk. Akal boleh menemukan kebenaran tetapi tidak boleh menentukannya. Qalb(hati) merupakan perdana menteri kepada system nafsani . Qalb bertanggungjawab memimpin kerja atau perlakuan manusia. Ia mampu memahami kenyataan, dan ketika akal mengalami kesulitan, sesuatu yang tidak rasional pada pandangan Akal, masih boleh difahami oleh  Qalb berdasarkan konsep pahala dan dosa. Apa yang sudah dilupakan oleh Qalb akan masuk kedalam memori nafs (alam bawah sedar) dan apa yang sudah dilupakan ini kadang muncul dalam mimpi manusia. Qalb, walaubagaimanapun, selalunya tidak menepati ketentuan.

Bashirat pula merupakan pandangan mata batin. Jika Qalb tidak selalunya menepati ketentuan kebenaran dan kejujuran, Bashirat pula tidak boleh diajak berkompromi untuk menyimpang dari kebenaran. Bashirat juga dipanggil sebagai Nurani dan disebut oleh orang Melayu sebagai hati nurani. Dalam tasawwuf, Bashirat adalah cahaya ketuhanan yang wujud dalam hati. Prasangka, tangis kesedaran, kewarakan dan belas kasihan datang dari Bashirat.

Syahwat pula ditafsirkan sebagai motif kepada tingkahlaku manusia. Syahwat merupakan keinginan semulajadi kepada sesuatu benda atau perkara contohnya syahwat(keinginan) kepada pasangan, bangga terhadap anak-anak, kenderaan yang hebat atau tanah kebun yang luas. Hawa pula adalah komponen yang biasanya mengarah kepada sikap yang tidak baik contohnya perilaku kejahatan, rasuah, marah, sombong dan lain-lain sifat yang tidak baik. Hawa sentiasa ingin segera menikmati apa yang diinginkan tanpa peduli kepada nilai-nilai moral atau akhlak.

Imam Al-Ghazali mengkelaskan sifat-sifat manusia kepada empat kelompok iaitu:

1.  Sifat haiwan buas (as-sab’iyyah) yang akan muncul apabila manusia dikuasai emosi, dan akan dimanifestasikan sebagai perilaku permusuhan, kebencian, penyerangan terhadap manusia lain samada secara lisan ataupun perbuatan

2. Sifat haiwan liar (al-bahimiyah) yang akan muncul apabila manusia dikuasai syahwat dan perwujudannya adalah tingkahlaku kejahatan, ketamakan dan bersifat seksual


3. Sifat syaitan (asy-syaithaniyah) muncul dari perpaduan syahwat dan emosi serta berupaya membuat berbezaan. Ini dimanifestasikan sebagai perlakuan kejahatan dalam bentuk kebaikan.


4.  Sifat ketuhanan (ar-rabbaniyah) yang apabila ianya menguasai jiwa manusia akan melahirkan peribadi yang bertindak seperti tuhan seperti sangat cinta kekuasaan, kebesaran, kekhususan, kediktatoran, lepas dari peribadatan, sombong, mengakui dirinya berilmu sangat luas dan tinggi.


Imam Al-Ghazali mencadangkan bahawa manusia perlu berada dalam keadaan sederhana untuk mencipta manusia yang stabil dari segala segi. Beliau tidak sama sekali mencadangkan konsep penghapusan syahwat atau hawa tetapi menyatakan bahawa manusia perlu mampu mengawalnya agar berada dalam keadaan yang sederhana. Imam Al-Ghazali membincangkan penyakit jiwa dari sudut perlakuan (Al-Akhlak) samada positif atau negatif. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa: menegakkan (melakukan) akhlak (yang baik) merupakan kesihatan mental, manakala berpaling dari penegakan itu bermaksud suatu neurosis dan psikosis.


Sebagai kesimpulannya, dalam mempersoalkan jiwa dan perlakuan, psikologi Islam mencadangkan konsep terapi yang menitik beratkan pendidikan hati yang menjadi pengawal kepada segala perbuatan manusia. Psikologi Islam juga menyarankan bahawa ada satu bentuk hubungan diantara manusia dan tuhan dari aspek kerohanian yang boleh dilaksanakan dan diperkuatkan dalam mendidik hati supaya menjadi manusia yang seimbang dari aspek kerohanian dan jasmani. Psikologi Islam mencadangkan supaya hati dibentuk dengan kaedah kerohanian yang natijahnya akan menghasilkan manusia yang stabil dari aspek akhlak, emosi , jasmani, kelakuan dan intelek. Psikoterapi dalam Islam dapat menyembuhkan semua penyakit psikologi samada bersifat duniawi atau ukhrawi. Jadi dalam proses membina generasi pelajar yang hebat dan mantap dari semua segi, pendekatan psikoterapi Islam harus dilaksanakan. Perlaksanaan ini mungkin akan mengambil masa, kos dan tenaga yang bukan sedikit tetapi kita sebagai ummat Islam yang yakin dan beriman kepada Allah harus melaksanakannya untuk membina ummat Islam yang lebih baik dari sebelumnya.

Saturday, November 22, 2014

Sigmund Freud - pengasas aliran psikologi psikoanalisis

     Di Barat, Sigmund Freud dikatakan sebagai seorang pengkaji yang banyak mengkaji minda manusia secara terperinci berbanding dengan pengkaji-pengkaji lain yang hidup sebelumnya. Sumbangannya kepada bidang psikologi diakui sangat meluas. Freud juga dikatakan sebagai seorang yang sangat berpengaruh pada abad ke 20 bukan sahaja mempengaruhi bidang psikologi bahkan juga bidang seni, sastera dan juga cara bagaimana orang-orang barat membesarkan anak-anak mereka.

     Istilah-istilah khas yang digunakan oleh Freud juga didapati telah menjadi kosa kata yang digunakan oleh orang-orang barat sehingga kini seperti istilah anal(personaliti), denial, cathartic, Freudian Slip, Libido dan neurotic.

    Freud merupakan pengasas kepada aliran psikoanalisis yang sebenarnya merupakan satu kaedah untuk merawat penyakit mental dan juga merupakan satu teori yang menerangkan perlakuan manusia.

ASAS-ASAS TEORI FREUD

   KES MELIBATKAN PESAKIT ANNA O

   Sigmund Freud pada asalnya adalah seorang Neuropathologist di Vienna. Arah hidupnya berubah apabila dia berbincang dengan seorang kawannya yang bernama Dr Josef Breuer mengenai seorang pesakit yang digelar ANNA O yang berjaya di rawat oleh Breuer. Dalam kes ini, ANNA O merupakan seorang pesakit yang mempunyai masalah histeria di mana ANNA O menunjukkan simptom-simptom fizikal seperti lumpuh, sawan, halusinasi dan kehilangan keupayaan bercakap tanpa apa-apa sebab fizikal yang jelas. Dr Josef Beuer akhirnya berjaya merawat ANNA O dengan membantunya mengingat semula "Memori yang telah dilupakan mengenai satu kejadian penuh trauma". Dari perbincangan inilah, idea muncul di dalam pemikiran Freud mengenai konsep psikologi yang dia cuba rungkaikan sepanjang hidupnya.

 MINDA BAWAH-SEDAR (UNCONCIOUS MIND)

 

   Freud telah membina satu model topografi minda di mana dia telah menerangkan tentang rupa bentuk struktur minda dan fungsi-fungsinya. Dalam model ini, segala benda yang kita sedar (minda sedar)  diwakili oleh puncak aisberg di bahagian atas permukaan laut manakala minda bawah sedar yang merupakan gudang keinginan yang bersifat primitif berada di bawah permukaan laut. Ruang yang memisahkan minda sedar dan minda bawah sedar pula (diwakili oleh permukaan laut) dipanggil sebagai minda separa-sedar. 

     Freud berpendapat bahawa terdapat kejadian-kejadian atau keinginan-keinginan yang selalulnya menakutkan dan menyakitkan yang tidak mahu diakui oleh pesakit-pesakitnya. Freud percaya segala maklumat ini akan disembunyikan dan disimpan di dalam minda bawah sedar. Ini berlaku melalui proses repressi (penindasan).

     Freud menegaskan tentang kepentingan minda bawah sedar ini dengan mengatakan bahawa minda bawah sedar ini sebenarnya menentukan perlakuan kita pada tahap yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan oleh manusia. Oleh itu tujuan utama kaedah psikoanalisis adalah untuk "menyedarkan" minda bawah sedar ini.

PSIKI (JIWA)

    

       Pada tahun 1932, Freud telah memperkenalkan pula Model Berstruktur Minda yang terdiri daripada entiti Id, Ego dan Superego. Freud menegaskan bahawa 3 entiti ini merupakan perkakas atau alat kepada psiki(jiwa). Entiti-entiti ini sama sekali bukanlah kawasan-kawasan otak tetapi merupakan hipotesis pengkonsepsian fungsi-fungsi mental yang penting. 

          Freud mengatakan bahawa id berperanan pada aras bawah sedar mengikut prinsip keseronokan. Id mengandungi 2 jenis naluri biologi yang dipanggil Eros dan Thanatos. 

      Eros ataupun Naluri Hidup, membantu individu untuk bermandiri, Ia mengarahkan aktiviti-aktiviti yang mengekalkan hidup seperti respirasi, makan dan sex. Tenaga yang dihasilkan oleh Naluri Hidup ini dipanggil LIBIDO.

     Berlawanan dengan Eros, Thanatos atau "Naluri Kematian" pula merupakan satu set daya pemusnah yang wujud dalam diri semua manusia. Apabila tenaga ini ditujukan keluar pada orang lain, maka ianya akan dizahirkan sebagai perlakuan agressif atau keganasan. Freud percaya bahawa Eros adalah lebih kuat dari Thanatos, oleh itu membolehkan manusia untuk bermandiri berbanding untuk memusnahkan diri sendiri.


    Ego pula bertumbuh dari Id ketika peringkat bayi. Tujuan Ego adalah untuk memuaskan kehendak Id dalam cara yang selamat dan diterima secara sosial. Berbeza dengan Id, Ego mengikut prinsip realiti kerana Ego beroperasi pada peringkat sedar dan juga bawah sedar seperti ditunjukkan pada model di atas. 

  Super-ego pula berkembang pada peringkat awal kanak-kanak dan bertanggungjawab dalam memastikan norma moral diikuti. Super-ego beroperasi mengikut prinsip moral dan memotivasikan kita untuk berkelakuan mengikut cara yang bertanggungjawab dan diterima dari segi sosial. Super-ego boleh menjadikan seseorang berasa bersalah sekiranya peraturan tidak dipatuhi. Apabila berlaku konflik antara keinginan Id dan keinginan super-ego, Ego mesti bertindak sebagai pengadil dan menjadi orang tengah untuk menyelesaikan konflik ini. Ego boleh menjalankan pelbagai mekanisma mempertahankan diri untuk mengelak dari dikalahkan oleh keresahan atau kebimbangan.


         
     


KONSEP PSIKOLOGI BARAT

  Konsep psikologi barat adalah berasaskan falsafah yang diperkenalkan oleh pemikir Yunani silam seperti Plato dan Aristotle. Konsep yang dipegang oleh ahli falsafah ini menyatakan bahawa manusia adalah pada dasarnya hanyalah sejenis haiwan yang mempunyai kelebihan untuk bercakap, berfikir dan memahami sesuatu perkara. Ini bermaksud manusia pada pandangan mereka hanyalah melibatkan komponen jasmani(body) dan minda(mind). Konsep yang lebih moden yang dibangunkan pada zaman moden ini cuba mentafsirkan manusia sebagai makhluk yang terbina dari interaksi jasmani dan minda dimana 2 komponen ini saling pengaruh mempengaruhi antara satu sama lain. Ahli-ahli psikologi barat kini mengikuti beberapa cabang atau aliran psikologi seperti di bawah.

     1. Psikoanalisis - sebuah aliran psikologi yang menyatakan bahawa manusia adalah digerakkan
         keinginan-keinginan yang terpendam.

     2. Behaviourisme - aliran psikologi yang mengatakan bahawa manusia digerakkan oleh
         rangsangan persekitaran.

     3. Psikologi Kognitif - aliran psikologi yang mengatakan bahawa manusia adalah makhluk
         yang mengorganisasikan dan mengolah rangsangan yang diterimanya.

     4. Psikologi Humanistik - aliran psikologi yang mengatakan bahawa manusia  memiliki
         keupayaan yang tidak bertindak umpama robot yang dikendalikan oleh kekuatan luar sedar atau
         dikendalikan oleh faktor-faktor luaran dari persekitaran.

  Secara kesimpulannya, semua aliran barat di atas hanya membicarakan manusia sebagai komponen yang melibatkan komponen jasmani dan pemikiran dan membentuk perlakuan atau tindakan manusia sebagai satu entiti. Ianya tidak mengambil kira konsep roh(soul) sebagaimana disebut dalam agama. Ini mungkin disebabkan oleh pemisahan antara Sains dan agama yang berlaku semasa revolusi peradaban barat yang jelas memisahkan agama dari kehidupan realiti.