Saturday, November 22, 2014

Sigmund Freud - pengasas aliran psikologi psikoanalisis

     Di Barat, Sigmund Freud dikatakan sebagai seorang pengkaji yang banyak mengkaji minda manusia secara terperinci berbanding dengan pengkaji-pengkaji lain yang hidup sebelumnya. Sumbangannya kepada bidang psikologi diakui sangat meluas. Freud juga dikatakan sebagai seorang yang sangat berpengaruh pada abad ke 20 bukan sahaja mempengaruhi bidang psikologi bahkan juga bidang seni, sastera dan juga cara bagaimana orang-orang barat membesarkan anak-anak mereka.

     Istilah-istilah khas yang digunakan oleh Freud juga didapati telah menjadi kosa kata yang digunakan oleh orang-orang barat sehingga kini seperti istilah anal(personaliti), denial, cathartic, Freudian Slip, Libido dan neurotic.

    Freud merupakan pengasas kepada aliran psikoanalisis yang sebenarnya merupakan satu kaedah untuk merawat penyakit mental dan juga merupakan satu teori yang menerangkan perlakuan manusia.

ASAS-ASAS TEORI FREUD

   KES MELIBATKAN PESAKIT ANNA O

   Sigmund Freud pada asalnya adalah seorang Neuropathologist di Vienna. Arah hidupnya berubah apabila dia berbincang dengan seorang kawannya yang bernama Dr Josef Breuer mengenai seorang pesakit yang digelar ANNA O yang berjaya di rawat oleh Breuer. Dalam kes ini, ANNA O merupakan seorang pesakit yang mempunyai masalah histeria di mana ANNA O menunjukkan simptom-simptom fizikal seperti lumpuh, sawan, halusinasi dan kehilangan keupayaan bercakap tanpa apa-apa sebab fizikal yang jelas. Dr Josef Beuer akhirnya berjaya merawat ANNA O dengan membantunya mengingat semula "Memori yang telah dilupakan mengenai satu kejadian penuh trauma". Dari perbincangan inilah, idea muncul di dalam pemikiran Freud mengenai konsep psikologi yang dia cuba rungkaikan sepanjang hidupnya.

 MINDA BAWAH-SEDAR (UNCONCIOUS MIND)

 

   Freud telah membina satu model topografi minda di mana dia telah menerangkan tentang rupa bentuk struktur minda dan fungsi-fungsinya. Dalam model ini, segala benda yang kita sedar (minda sedar)  diwakili oleh puncak aisberg di bahagian atas permukaan laut manakala minda bawah sedar yang merupakan gudang keinginan yang bersifat primitif berada di bawah permukaan laut. Ruang yang memisahkan minda sedar dan minda bawah sedar pula (diwakili oleh permukaan laut) dipanggil sebagai minda separa-sedar. 

     Freud berpendapat bahawa terdapat kejadian-kejadian atau keinginan-keinginan yang selalulnya menakutkan dan menyakitkan yang tidak mahu diakui oleh pesakit-pesakitnya. Freud percaya segala maklumat ini akan disembunyikan dan disimpan di dalam minda bawah sedar. Ini berlaku melalui proses repressi (penindasan).

     Freud menegaskan tentang kepentingan minda bawah sedar ini dengan mengatakan bahawa minda bawah sedar ini sebenarnya menentukan perlakuan kita pada tahap yang lebih tinggi daripada yang dijangkakan oleh manusia. Oleh itu tujuan utama kaedah psikoanalisis adalah untuk "menyedarkan" minda bawah sedar ini.

PSIKI (JIWA)

    

       Pada tahun 1932, Freud telah memperkenalkan pula Model Berstruktur Minda yang terdiri daripada entiti Id, Ego dan Superego. Freud menegaskan bahawa 3 entiti ini merupakan perkakas atau alat kepada psiki(jiwa). Entiti-entiti ini sama sekali bukanlah kawasan-kawasan otak tetapi merupakan hipotesis pengkonsepsian fungsi-fungsi mental yang penting. 

          Freud mengatakan bahawa id berperanan pada aras bawah sedar mengikut prinsip keseronokan. Id mengandungi 2 jenis naluri biologi yang dipanggil Eros dan Thanatos. 

      Eros ataupun Naluri Hidup, membantu individu untuk bermandiri, Ia mengarahkan aktiviti-aktiviti yang mengekalkan hidup seperti respirasi, makan dan sex. Tenaga yang dihasilkan oleh Naluri Hidup ini dipanggil LIBIDO.

     Berlawanan dengan Eros, Thanatos atau "Naluri Kematian" pula merupakan satu set daya pemusnah yang wujud dalam diri semua manusia. Apabila tenaga ini ditujukan keluar pada orang lain, maka ianya akan dizahirkan sebagai perlakuan agressif atau keganasan. Freud percaya bahawa Eros adalah lebih kuat dari Thanatos, oleh itu membolehkan manusia untuk bermandiri berbanding untuk memusnahkan diri sendiri.


    Ego pula bertumbuh dari Id ketika peringkat bayi. Tujuan Ego adalah untuk memuaskan kehendak Id dalam cara yang selamat dan diterima secara sosial. Berbeza dengan Id, Ego mengikut prinsip realiti kerana Ego beroperasi pada peringkat sedar dan juga bawah sedar seperti ditunjukkan pada model di atas. 

  Super-ego pula berkembang pada peringkat awal kanak-kanak dan bertanggungjawab dalam memastikan norma moral diikuti. Super-ego beroperasi mengikut prinsip moral dan memotivasikan kita untuk berkelakuan mengikut cara yang bertanggungjawab dan diterima dari segi sosial. Super-ego boleh menjadikan seseorang berasa bersalah sekiranya peraturan tidak dipatuhi. Apabila berlaku konflik antara keinginan Id dan keinginan super-ego, Ego mesti bertindak sebagai pengadil dan menjadi orang tengah untuk menyelesaikan konflik ini. Ego boleh menjalankan pelbagai mekanisma mempertahankan diri untuk mengelak dari dikalahkan oleh keresahan atau kebimbangan.


         
     


KONSEP PSIKOLOGI BARAT

  Konsep psikologi barat adalah berasaskan falsafah yang diperkenalkan oleh pemikir Yunani silam seperti Plato dan Aristotle. Konsep yang dipegang oleh ahli falsafah ini menyatakan bahawa manusia adalah pada dasarnya hanyalah sejenis haiwan yang mempunyai kelebihan untuk bercakap, berfikir dan memahami sesuatu perkara. Ini bermaksud manusia pada pandangan mereka hanyalah melibatkan komponen jasmani(body) dan minda(mind). Konsep yang lebih moden yang dibangunkan pada zaman moden ini cuba mentafsirkan manusia sebagai makhluk yang terbina dari interaksi jasmani dan minda dimana 2 komponen ini saling pengaruh mempengaruhi antara satu sama lain. Ahli-ahli psikologi barat kini mengikuti beberapa cabang atau aliran psikologi seperti di bawah.

     1. Psikoanalisis - sebuah aliran psikologi yang menyatakan bahawa manusia adalah digerakkan
         keinginan-keinginan yang terpendam.

     2. Behaviourisme - aliran psikologi yang mengatakan bahawa manusia digerakkan oleh
         rangsangan persekitaran.

     3. Psikologi Kognitif - aliran psikologi yang mengatakan bahawa manusia adalah makhluk
         yang mengorganisasikan dan mengolah rangsangan yang diterimanya.

     4. Psikologi Humanistik - aliran psikologi yang mengatakan bahawa manusia  memiliki
         keupayaan yang tidak bertindak umpama robot yang dikendalikan oleh kekuatan luar sedar atau
         dikendalikan oleh faktor-faktor luaran dari persekitaran.

  Secara kesimpulannya, semua aliran barat di atas hanya membicarakan manusia sebagai komponen yang melibatkan komponen jasmani dan pemikiran dan membentuk perlakuan atau tindakan manusia sebagai satu entiti. Ianya tidak mengambil kira konsep roh(soul) sebagaimana disebut dalam agama. Ini mungkin disebabkan oleh pemisahan antara Sains dan agama yang berlaku semasa revolusi peradaban barat yang jelas memisahkan agama dari kehidupan realiti.